Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah,ujian atau
masalah hidup didunia yang sementara ini.Tipu jika seseorang itu berkata
yang dia tidak pernah ditimpa musibah. Setiap orang ada masalahnya
tersendiri,Allah uji dengan berbagai-bagai ujian tetapi sebabnya adalah
sama. Allah menguji seseorang itu kerana Allah swt mempunyai rahsianya
tersendiri,sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh
mana keimanan kita. Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata
hati kita,yang mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam
kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh dengan onak
duri,ujian juga dapat mematangkan kita.
Kadang-kadang kita
tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah swt kenapa kita diberi ujian
yang berat sebegitu sekali sehingga kita terlupa pada siapa yang perlu
kita mengadu segala masalah kita, pada siapa kita harus minta kembali
kekuatan kita. Astagfirullah, lemahnya dan rendahnya iman kita. Tidak
redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita. Jika kita
anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah ingat bukan
kita sahaja yang mengalaminya,mungkin ada sahabat-sahabat kita @ saudara
seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk
atau lebih besar dari kita.
Bukankah,Allah telah berkata
dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji
hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Allah tahu kita kuat dalam
menghadapi ujianNya jadi Allah berikan ujian itu ke atas diri kita. Di
sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita
sebagai hambaNya.
Allah menguji seseorang bukan kerana Allah
benci kepada kita tetapi percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita.
Cuma kita sebagai hambaNya tidak pernah hendak bersabar dalam
menghadapi ujianNya. Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita
kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.
Alihkan pandangan
matamu ke arah LAUT, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan.
Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu
juga dengan kehidupan manusia, riang dan ketawa tetapi hanya Allah yang
mengetahui rahsia kehidupannya. Jika rasa kecewa, alihkan pandanganmu ke
arah SUNGAI, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang
menghalangnya. Dan jika rasa sedih,alihkan pandanganmu ke arah LANGIT,
sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamamu.
Jadi seharusnya apa yang perlu kita lakukan? berdoalah kepada Allah,
Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri
kita. Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada
Allah swt.Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar
rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar.
Dekatkanlah diri
kita dengan pencipta kita yang menguasai seluruh alam, yang memegang
hati-hati kita. Disamping berdoa perlulah kita berusaha menyelesaikan
masalah yang dihadapi. Mungkin ada yang rasa diri mereka tidak kuat
hendak hadapinya tetapi cubalah bangun! Usah tewas dengan hasutan
syaitan, cari kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri
kita masing-masing. Yakin dengan diri, kuatkan azam dan cita-cita. Usah
tonjolkan kelemahan kita pada syaitan kerana syaitan tidak pernah
berhenti menghasut agar kita lemah-selemahnya.
Jika rasa
tidak kuat, carilah sahabat-sahabat yang sentiasa memberi kata-kata
semangat kepada kita dan bukan sahabat yang menjatuhkan kita. Itulah
pentingnya sahabat kerana kita tidak mungkin bisa hidup berseorangan.
Kita perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan
datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya. Untung
bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya.
Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan
ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang
terbaik!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan