Assalamualaikum.....

"Ya Allah, bagi-Mu segala puji. Engkaulah cahaya yang menerangi langit dan bumi serta seisinya, Engkau yang hak,janji-Mu adalah haq (benar), menghadap kepada-Mu itu juga haq (pasti), syurga itu haq (benar), neraka itu haq,hari kiamat itu haq,nabi itu-nabi itu adalah haq dan nabi Muhammad itu haq. Ya Allah, kepada-Mu sajalah aku berserah diri, kepada-Mu sajalah aku bertawakal, hanya pepada-Mu aku bertawakal, hanya kepada-Mu aku beriman, kepada-Mu sajalah aku bertahkim, Maka ampunilah dosaku yang silam dan yang terkemudian, yang tersembunyi dan yang terang nyata. Engkau yang awal dan Engkau yang terakhir. Tiada Tuhan selain Engkau. dan tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah."

Jumaat, 9 Disember 2011

Ujian Allah Tanda Sayang

Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah,ujian atau
masalah hidup didunia yang sementara ini.Tipu jika seseorang itu berkata
yang dia tidak pernah ditimpa musibah. Setiap orang ada masalahnya
tersendiri,Allah uji dengan berbagai-bagai ujian tetapi sebabnya adalah
sama. Allah menguji seseorang itu kerana Allah swt mempunyai rahsianya
tersendiri,sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh
mana keimanan kita. Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata
hati kita,yang mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam
kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh dengan onak
duri,ujian juga dapat mematangkan kita.

    Kadang-kadang kita
tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah swt kenapa kita diberi ujian
yang berat sebegitu sekali sehingga kita terlupa pada siapa yang perlu
kita mengadu segala masalah kita, pada siapa kita harus minta kembali
kekuatan kita. Astagfirullah, lemahnya dan rendahnya iman kita. Tidak
redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita. Jika kita
anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah ingat bukan
kita sahaja yang mengalaminya,mungkin ada sahabat-sahabat kita @ saudara
seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk
atau lebih besar dari kita.

    Bukankah,Allah telah berkata
dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji
hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Allah tahu kita kuat dalam
menghadapi ujianNya jadi Allah berikan ujian itu ke atas diri kita. Di
sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita
sebagai hambaNya.
    Allah menguji seseorang bukan kerana Allah
benci kepada kita tetapi percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita.
Cuma kita sebagai hambaNya tidak pernah hendak bersabar dalam
menghadapi ujianNya. Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita
kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.

    Alihkan pandangan
matamu ke arah LAUT, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan.
Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu
juga dengan kehidupan manusia, riang dan ketawa tetapi hanya Allah yang
mengetahui rahsia kehidupannya. Jika rasa kecewa, alihkan pandanganmu ke
arah SUNGAI, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang
menghalangnya. Dan jika rasa sedih,alihkan pandanganmu ke arah LANGIT,
sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamamu.


   Jadi seharusnya apa yang perlu kita lakukan? berdoalah kepada Allah,
Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri
kita. Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada
Allah swt.Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar
rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar.

    Dekatkanlah diri
kita dengan pencipta kita yang menguasai seluruh alam, yang memegang
hati-hati kita. Disamping berdoa perlulah kita berusaha menyelesaikan
masalah yang dihadapi. Mungkin ada yang rasa diri mereka tidak kuat
hendak hadapinya tetapi cubalah bangun! Usah tewas dengan hasutan
syaitan, cari kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri
kita masing-masing. Yakin dengan diri, kuatkan azam dan cita-cita. Usah
tonjolkan kelemahan kita pada syaitan kerana syaitan tidak pernah
berhenti menghasut agar kita lemah-selemahnya.

    Jika rasa
tidak kuat, carilah sahabat-sahabat yang sentiasa memberi kata-kata
semangat kepada kita dan bukan sahabat yang menjatuhkan kita. Itulah
pentingnya sahabat kerana kita tidak mungkin bisa hidup berseorangan.


    Kita perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan
datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya. Untung
bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya.
Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan
ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang
terbaik!

Solat Istikharah

Pertama : Kenapa Perlu
Jawabnya, kerana sebagai manusia, kita tidak lepas daripada berdoa. Meminta kepada Allah yang Maha Tahu adalah jalan terbaik bagi kita selaku manusia yang tidak tahu. Pengetahuan kita sangat terbatas, sedangkan pengetahuan Allah Maha Luas. Dia Tahu tentang apa yang sebelum kita, serta apa yang bakal berlaku selepas kita. Termasuklah dalam hal ehwal jodoh serta pasangan kita nanti. Justeru, kita yang tidak tahu ini perlulah meminta pertolongan Allah untuk menunjukkan kepada kita mana yang terbaik, supaya dengan keputusan yang kita buat itu kita tidak akan menyesal di kemudian hari.

Kedua : Kaitan dengan HATI
Kita kena faham, bahawa Istikharah itu sangat berkait rapat dengan hati. Kalau hati kotor, mana mungkin akan mendapat petunjuk yang baik. Kalau hati bersih, InsyaAllah ilhamnya nanti juga baik. Ada orang, bersungguh-sungguh solat Istikharah, tetapi maksiat tetap tak tinggal, solat wajib tunggang langgang, maka bagaimana hendak mengharap kepada petunjuk yang baik dan molek ? Justeru, satu proses yang paling penting dalam bab Istikharah ini adalah membersihkan hati terlebih dahulu. Jika anda sudah benar-benar melaksanakan proses ini, maka barulah anda boleh mengharap datangnya petunjuk yang benar kepada hati anda. Jika tidak, berkemungkinan petunjuk itu hanyalah bayangan daripada Syaitan.

Ketiga : Perkara yang boleh Istikharah
Perkara yang boleh kita Istikharah hanyalah dalam perkara yang harus di sisi Syarak sahaja. Tidak ada istilah Istikharah untuk hal yang telah jelas akan wajib atau haramnya. Umpamanya, nak bayar zakat atau tidak, tidak perlu Istikharah kerana telah jelas wajibnya. Begitu juga dengan bercouple, tidak payah Istikharah kerana telah jelas haramnya. Tetapi dalam hal yang harus, umpamanya untuk memilih antara dua pekerjaan yang sama-sama halal, maka Istikharahlah memohon petunjuk dari Allah.

Keempat : Istikharah 50-50
Benda yang telah kita yakin sebenarnya tidak lagi berhajat kepada Istikharah. Ada orang, berdepan dengan dua pilihan iaitu Nora dan Siti. Tetapi dalam hatinya, dia memang telah sukakan Siti dan dia tidak sukakan Nora. Dalam keadaan ini, kalau dia Istikharah sekalipun – dalam keadaan hatinya sudah meletakkan jawapan – Istikharah itu tiada maknanya. Istikharah hanya dalam perkara yang kita benar-benar buntu untuk memilih, antara A dan B keduanya sama berat. Dalam masa yang sama, kita tidak kisah pun kalau mendapat A ataupun B kerana keduanya tidak memberi mudharat kepada hidup kita. Jadi, Istikharah dalam hal itu adalah digalakkan.

Kelima : Satu pilihan, Dua pilihan atau Tiga pilihan
Ini menjawab persoalan seorang sahabat pengunjung blog saya. Sebenarnya, tidak kisahlah berapa pilihan sekalipun yang ada di hadapan kita, apa yang kita ingin minta adalah pilihan yang terbaik daripada kesemua yang ada.Kata kuncinya di sini adalah PILIHAN. Jika wujud elemen pilihan, wujudlah Isikharah. Jika tidak, bagaimana untuk wujud Istikharah? Mungkin kita perlu memilih antara A, B atau C. Mungkin juga kita perlu memilih antara menerima A atau menolak. Mungkin juga perlu memilih antara membuka ruang untuk lamaran A atau menutup pintu hati untuk kesemua urusan tersebut. Yang penting, kita benar-benar berada dalam persimpangan untuk membuat pilihan antara semua yang ada.

Keenam : Istisyarah atau Mesyuarat
Manusia dianugerahkan akal untuk membuat pertimbangan. Justeru ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk berfikir, menganalisa dan mencari jalan. Islam menganjurkan bermesyuarat atau meminta pendapat orang berpengalaman – sebagai kembar kepada proses Istikharah itu sendiri. Maknanya, kita tidak boleh seratus peratus bergantung kepada proses Istikharah semata-mata- hinggakan ada yang menunggu-nunggu mimpi dan sebagainya – sebaliknya, dengan bermesyuarat pun kita akan mendapat kekuatan untuk membuat keputusan. Timbanglah dengan akal yang matang akan kesemua pilihan yang ada di depan mata, dan belajarlah untuk menjadi berani membuat keputusan. Itu kan sunnatullah dalam kehidupan.

Ketujuh : Mimpi
Dalam banyak keadaan, ini boleh dikatakan mitos. Dari mulut ke mulut, petunjuk tentang mimpi adalah benda wajib yang akan dikembarkan dengan saranan Istikharah. Sedangkan kita tahu, mimpi juga boleh berlaku ke atas seseorang yang sedang angau. Maka jika si angau ini bermimpi , adakah boleh dengan senangnya dia menganggap mimpi itu petunjuk Istikharah? Tentunya tidak semudah itu. Bagaimana pula jika Istikharah dan bermimpi calon A lalu mahu membuat keputusan, tiba-tiba esoknya termimpi pula calon B? Atau, bagaimana jika dalam satu masa yang sama bermimpi calon A dan B serentak? Maka sebaiknya, jangan gantungkan Istikharah anda itu dengan sebarang mimpi!
Begitu juga, Istikharah tidak memerlukan sehingga anda dan calon anda bermimpi perkara yang serupa, barulah dianggap Istikharah anda itu berjaya. Tidak sama sekali.

Kelapan : Petunjuk yang bagaimana?
Seorang guru saya di Pondok pernah berpesan kepada saya tentang Istikharah. Katanya, ketika fikiran dan hati kita terbeban mahu memilih antara A dan B ( atau lain-lain ) maka hendaklah kita melazimi solat Istikharah. Dalam masa yang sama kita jangan tinggalkan Istisyarah. Antara petanda yang mungkin hadir adalah, ketika kita bangun daripada tidur dan teringatkan tentang perkara yang membebani kita itu ( membuat pilihan ) maka salah satu pilihan tersebut menjadi tenang di hati kita berbanding pilihan yang lagi satu. Ini salah satu petunjuk bahawa pilihan itu adalah yang terbaik untuk kita ikut. Mudahnya, petunjuk itu datang ke dalam hati kita sendiri. Kita sendiri akan merasai perkara tersebut jika kita benar-benar konsisten dengan Istikharah dan Istisyarah. Ia seterusnya akan mencetus keyakinan kepada kita dalam membuat langkah seterusnya tanpa ada lagi perasaan ragu-ragu.
Firman Allah ta’ala : ” Dan apabila kamu telah berazam untuk melakukan sesuatu, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah suka orang-orang yang bertawakkal “

Kesembilan : Was-was itu daripada Syaitan
Dalam Fiqh, kalau kita yakin kita masih ada wudhuk dan mahu solat, tetapi tiba-tiba ada semacam bisikan bahawa wudhuk kita sudah batal, maka bisikan tersebut tidak dikira membatalkan keyakinan kita. Kaedah menyebut : Yakin tidak akan gugur kerana Syak. Begitu juga dalam bab Istikharah. Jika sudah yakin dengan pilihan yang kita buat – berdasarkan doa Istikharah kita kepada Allah serta pertimbangan-pertimbangan yang kita buat dengan Istisyarah – maka jangan dilayan lagi bisikan-bisikan umpamanya mungkin akan menyesal, atau nanti begitu atau begini, kerana kesemua itu sebenarnya adalah helah daripada Syaitan. Seorang ulama’ menyebut : Tidak akan menyesal orang yang melakukan solat Istikharah.

Kesimpulan
Optimislah dengan keputusan sendiri. Belajarlah membuat keputusan dengan yakin. Jangan harapkan anasir lain membuat keputusan untuk anda. Istikharah tidak harus sama sekali diletakkan di tahap itu, kerana ia adalah hubungan antara hamba dengan Tuhannya. Tetapi meletakkan anasir lain untuk membuat keputusan, umpamanya mengharapkan mimpi tertentu, melihat kepada objek-objek tertentu ataupun nombor-nombor tertentu, kesemua ini akan menjadikan anda seorang manusia yang tiada fungsi. Ia jauh sekali daripada ajaran Islam, apatah lagi hendak dikaitkan dengan solat sunat Istikharah
Ya Allah, jika aku jatuh cinta, cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMu,
agar bertambah kekuatan ku untuk mencintaiMu.
Ya Muhaimin, jika aku jatuh cinta, jagalah cintaku padanya agar tidak melebihi cintaku padaMu
Ya Allah, jika aku jatuh hati, izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut padaMu,
agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta semu.


Ya Rabbana, jika aku jatuh hati, jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling dari hatiMu.
Ya Rabbul Izzati, jika aku rindu, rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid di jalanMu.
Ya Allah, jika aku rindu, jagalah rinduku padanya agar tidak lalai aku merindukan syurgaMu.
Ya Allah, jika aku menikmati cinta kekasihMu,
janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirmu.


Ya Allah, jika aku jatuh hati pada kekasihMu,
jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMu.
Ya Allah, jika Kau halalkan aku merindui kekasihMu,
jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMu.

Suburkan cintaku padaMu

Ya Allah, dengan izinMu
Telah banyak yang aku lalui
Hingga pernah resah jiwa ini
Hingga pernah gelisah hati ini
Cinta dunia pernah merantai hati
Walau tidak pernah kuzahiri
Dalam sederap langkah perjalanan hidupku...

Jika dulu telah Engkau izinkan
Aku merasai kehangatan kasih dalam alpa
Jika dulu Engkau benarkan
Aku menikmati rindu adam kepada hawa
Jika dulu Engkau biarkan
Aku di dalam bahagia yang sementara
Cukuplah wahai tuhanku…

Kerana di sebalik semua itu
Aku pernah kehilangan cintaMu
Pernah gersang jiwaku
Pernah tandus imanku…
Derita itu merobek ketenanganku
Hatiku yang telah retak semakin retak
Solatku tiada lagi khusyuknya
Rukukku tiada lagi ikhlasnya
Sujudku bersama fikiran yang melayang entah ke mana
Tahajjudku sudah tiada serinya
Munajatku sudah hilang air matanya
Imanku longlai untuk berkata-kata…

Dan Ya Allah
Setelah semua itu aku lalui
Dengan penuh susah, jerih dan payah
Kugagahi jua langkah lemah ini
Berbekal harapan yang tidak pernah mati
Akhirnya kutemui cintaMu yang hakiki
Manisnya kurasai
Bahagia dan ketenangan abadi…

Bersama setiap sedutan nafas
Beriramalah tasbih, tahmid dan takbir
Hati ini bahagia dengan mengingatiMu
Hati ini derita bila melupaiMu
Engkaulah Kekasih dan cinta hatiku
Sekalipun tidak
Aku berasa kecewa kerana dikecewakan
Bahkan hati yang retak kembali pulih
Hati yang merana kembali damai
Hati yang sirna kembali menyinar…

Syukurku padaMu tuhan…
Atas segala kurniaan
Nikmat rasa cinta yang cuma sedikit padaMu ini,
Jangan Engkau lenyapkan,
Jangan Engkau kuburkan
Tapi, suburkanlah cintaku padaMu tuhan…
Biarkan hati ini
Terus mengharap, berpaut dan bergantung padaMu
Kurniakan kepadaku
Sekeping hati yang kuat
Agar ia terus hidup di dalam cahayaMu
Selamanya…

Doaku

Ya ALLAH,sesungguhnya Engkau maha mengetahui bahawa hati-hati ini telah terkumpul untuk mencerahkan muhabbah kepadaMu, bertemu untuk taat kepadaMu, bersatu dalam dakwahMu, berjanji setia untuk membela syariatMu, maka kuatkanlah ikatan pertaliannya, ya ALLAH, abadikanlah kasih sayangnya, tunjukkanlah jalan-jalannya dan penuhilah ia dengan cahayaMu yang tidak pernah redup, lapangkanlah dadanya dengan limpahan iman dan keindahan tawakal kepadaMu dan matikanlah dalam keadaan syahid di jalanMu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.Amin...